top of page

PENGASAS GPMS 1948

SEJARAH GPMS

GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG 1948

Syed Hussain Al Attas dalam bukunya, The Intellectuals and Developing Societies menulis:

“Intellectuals thrive, when societies undergo a crisis, when something great is at stake. The intellectuals came on the scene in their countries when they needed reform and a conceptualarticulation of nationalism.”

Pernyataan Al Attas tepat untuk memaparkan sejarah penubuhan GPMS. Ketetapan tersebut disebabkan suasana yang sedang dihadapi oleh bangsa Melayu ketika itu lantaran kurangnya pelajar Melayu pada peringkat pengajian tinggi. Sebagai akibat daripada keadaan inilah maka isu utama yang menjadi pokok perbincangan selepas Perang Dunia Kedua ialah cara mengatasi masalah tersebut yang sudah dianggap sebagai krisis kebangsaan yang mesti diatasi. Seiring dengan hal tersebut, hasrat untuk meramaikan pelajar Melayu dalam pusat pengajian tinggi menjadi social goal dalam kalangan masyarakat Melayu.

Aminuddin Baki, pelajar Universiti Malaya Singapura dalam tulisannya mengungkapkan :

‘Memandang pada pentingnya universiti itu bukan sahaja menjadi tempat mempelajari ilmu pengetahuan tinggi tetapi juga sebagai tempat membentuk corak Melayu pada masa hadapan dan tempat asuhan pemimpin-pemimpinnya, maka tak dapat tidak jika bangsa kita ingin hidup maju dan mulia, maka terpaksalah bilangan penuntut kita diperbanyakkan lagi. Bangsa kita kekurangan doktor, peguam, ahli ikhtisas, dan kekurangan dalam segala-galanya. Kepada universiti itulah seharusnya kita mengarah pandangan berat memperbaiki keadaan kitayang serba serbi kekurangan ini’.

Pada pertengahan tahun 1948, Abdul Wahab Ariff, Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Kolej Raffles dan Perubatan Singapura dalam ucapan tahunannya menegaskan, 

 

…..The Malay community was at present under represented at the upper educational levels. The Federation means nothing much to the present generation of Malay. Out of 2,200,000 Malays in the whole Malaya there are 25 Malay students out of 312 in the Medical College, 33 out of 300 in Raffles College and of 200 Malayan students in the United Kingdom, there are only 38 Malays…’

Oleh sebab kesedaran bahawa semangat yang meluap-luap sahaja tidak akan dapat menyelesaikan masalah dan belajar daripada peristiwa penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union yang menyebabkan orang Melayu bersatu dan menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu, maka timbullah cadangan dalam kalangan pelajar Melayu untuk menggabungkan semua Kesatuan Penuntut Melayu negeri-negeri dan badan pelajar di maktab ke dalam gabungan pelajar peringkat kebangsaan.

Cadangan ini sebenarnya bermula setelah Abdul Wahab Ariff menyampaikan ucapan tahunannya dalam jamuan anjuran Persatuan Pelajar Islam Maktab Raffles dan Maktab Perubatan Singapura di Hotel Adelphi. Beliau menggesa agar ditubuhkan badan pelajar Melayu yang dapat menyatukan seluruh badan pelajar di Tanah Melayu, berharap agar badan itu nanti dapat berusaha meninggikan kualiti pelajaran pelajar Melayu. Antara mereka yang hadir ialah Aminuddin Baki pelajar tahun pertama Maktab Raffles yang berasal dari Chemor Perak.

Sewaktu pertemuan antara Aminuddin dengan Abd Wahab Ariff, Aminuddin menyatakan kegembiraannya mendengar hasrat Abd Wahab Ariff untuk menggabungkan badan pelajar Melayu ke dalam satu gabungan. Aminuddin menyebut tentang usaha awalnya yang gagal untuk menggabungkan beberapa buah badan pelajar Melayu ke dalam Kesatuan di Malaya. 

Aminuddin meminta Abd Wahab Ariff meneruskan hasrat untuk menggabungkan badan pelajar Melayu dan memainkan peranan utama. Pada pendapat Aminuddin, Abd Wahab Ariff paling sesuai untuk menjalankan usaha melahirkan sebuah badan gabungan peringkat kebangsaan. Keyakinan itu berdasarkan kedudukan Abd Wahab yang ketika itu sebagai Presiden Persatuan Pelajar Islam Maktab Raffles dan Maktab Perubatan Singapura. Kedudukan ini tentunya dapat mempengaruhi pelajar Melayu di seluruh tanah air. Abdul Wahab menghubungi teman semaktabnya dan mendapati bahawa cadangan untuk menubuhkan badan pelajar Melayu peringkat kebangsaan mendapat sambutan yang baik. Hasil daripada usaha itu terbentuklah Jawatakuasa Penaja yang berusaha merancang diadakan Kongres Penuntut Melayu SeMalaya di Kuala Lumpur.

Anggota Jawatankuasa Penaja yang dilantik adalah pelajar Maktab Raffles dan Maktab Perubatan Singapura yang terdiri daripada Abd Wahab Mohamed Arif sebagai Pengerusi, Aminuddin Baki sebagai Setiausaha, Ahmad Ridhuan Hj Zainuddin sebagai Penolong Setiausaha, Abdullah Majidsebagai Bendahari, Siti Hasmah Mohd Ali sebagai wakil Pemudi. Ahli Jawatakuasa terdiri daripada Mohamad Nor Marahakim, Wan Sulaiman Pak Wan Teh dan Abdul Rahim Ishak.

Ahli Jawatankuasa Penaja tersebut mengadakan mesyuarat untuk membincangkan beberapa perkara tentang kongres dan penubuhan gabungan pelajar. Tarikh 14 dan 15 Ogos 1948 dipilih sebagai tarikh untuk mengadakan kongres dan penubuhan badan pelajar tersebut. Jawatankuasa tersebut bersetuju agar kongres diadakan di Kuala Lumpur. Persatuan Penuntut Muslim Technical College, Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah kongres tersebut. Jemputan menghadiri kongres dihantar kepada semua badan pelajar di negeri Selangor, Pahang dan Perak serta badan-badan pelajar di Maktab Teknik Kuala Lumpur dan Maktab Pertanian Serdang. Kongres Penuntut Melayu Malaya diadakan selama dua hari iaitu pada hari Sabtu dan Ahad, 14 dan 15 Ogos 1948 yang dipengerusikan oleh Aminuddin Baki.

Tujuh buah badan pelajar menghadiri kongres tersebut. Badan-badan tersebut adalah Persatuan Penuntut Muslimin Technical College, Kuala Lumpur, Persatuan Penuntut Melayu Maktab Pertanian Serdang, Perhimpunan Pelajar-pelajar Melayu Insaf, Perak (PERMI), Kesatuan Persuratan Penuntut Melayu Pahang (KPMP), Kesatuan Persuratan Penuntut Melayu Selangor (KPPMS), Kesatuan Persuratan penuntut Melayu Selangor Cawangan Kuala Lumpur dan Kesatuan Persuratan Penuntut Melayu Selangor cawangan Kajang.

Persidangan tersebut membincangkan dan meluluskan rangka Perlembagaan, panji-panji dan mengesahkan Surat Ikrar penubuhan badan pelajar yang diberi nama Gabungan Penuntut-Penuntut Melayu Semenanjung (GPMS).

Mukadimah panji-panji dan surat ikrar penubuhan adalah seperti berikut:

KAMI, Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung Tanah Melayu yang dijemput oleh Jawatankuasa Sementara GPMS untuk menghadiri persidangan penubuhan GPMS di Kuala Lumpur pada 14 dan 15 Ogos 1948,

SEDAR atas perlunya disatukan tenaga sekalian pelajar Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu.

SEDAR akan kemunduran kami di alam pengetahuan.

SEDAR akan kewajipan kami untuk meninggikan darjat pengetahuan bangsa.

SEDAR bahawa maju mundur, kaya miskin dan hina mulianya bangsa itu di tangan kami.

Berpendapat bahawa Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung wajiblah didirikan dengan tujuan, menjaga hak-hak, mengemukakan segala permintaan dan memperbaiki keadaan pelajar-pelajar Melayu di segenap lapisan.

© SAHABAT PENDIDIKAN GPMS WP : PROUDLY CREATED WITH WIX.COM

bottom of page